PEKERJA LOMBONG MAUT, ANAK SELAMAT
PEKERJA LOMBONG MAUT, ANAK SELAMAT
LIPIS : Seorang pekerja lombong yang memandu Toyota Hilux terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 22 Jalan Lipis – Merapoh, di persimpangan lampu isyarat Lebuhraya CSR, berdekatan Ladang Selborne, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.10 malam itu, pemandu itu, Ng Kong Yuen, 40, dari Padang Tengku, di sini maut di tempat kejadian manakala anaknya, Ng Haw Min, 5, hanya mengalami luka di badan.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah treler membelok ke kanan di persimpangan itu.
“Kenderaan yang dipandu mangsa yang datang dari arah bertentangan telah merempuh bahagian hadapan treler terbabit menyebabkan kenderaan pacuan empat roda miliknya remuk di bahagian pemandu,” katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lampu isyarat di tempat kejadian rosak dan lampu isyarat berwarna kuning berkelip sebagai tanda amaran.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk ujian swab test Covid-19 dan bedah siasat,” katanya.
Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut diteruskan.
Manakala pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM) mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit. – SAHIH