PBB KUTUK KEGANASAN TENTERA JUNTA
PBB KUTUK KEGANASAN TENTERA JUNTA
YANGON: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mengutuk tindakan ganas dilakukan tentera Myanmar terhadap demonstrasi aman anti rampasan kuasa, ketika pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) mengenakan tindakan ke atas anggota keluarga pemimpin Junta.
Myanmar berada dalam kekacauan sejak tentera bertindak mengguling dan menahan Kaunselor Negara itu, Aung San Suu Kyi bulan lalu, sekali gus mencetuskan tunjuk perasaan setiap hari di seluruh negara bagi menuntut kembali hak demokrasi.
Berikutan itu, pasukan keselamatan bertindak balas dengan kekerasan dan dilihat semakin kejam dengan menggunakan tembakan gas pemedih mata, bom tangan dan peluru getah.
Beberapa diplomat memberitahu AFP mengenai kenyataan dipersetujui oleh Majlis Keselamatan PBB yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan terhadap penunjuk perasaan yang dilakukan secara aman.
GAMBAR IHSAN AFP
Persetujuan itu adalah tindakan kedua kesatuan berkenaan dalam krisis di Myanmar membabitkan 15 anggotanya termasuk China, dalam tempoh sebulan.
AS turut melaksanakan tekanan terbaru apabila menghukum Aung Pyae Sone dan Khin Thiri Thet Mon iaitu dua anak pemimpin Junta Myanmar, Min Aung Hlaing.
Menurut kenyataan Perbendaharaan AS, kedua-dua individu itu memiliki pelbagai pegangan perniagaan yang secara langsung memperolehi laba daripada kedudukan ayah mereka dan pengaruh jahat.
Ekoran konflik rampasan kuasa yang berlaku di Myanmar, hampir 2,000 orang ditangkap dan jumlah kematian turut meningkat kepada lebih 60 orang.
Selain itu, ribuan penjawat awam negara itu juga menyertai gerakan ketidakpatuhan sivil yang bertujuan memberi tekanan kepada kerajaan negeri dan melumpuhkan ekonomi.
Gerakan itu mengakibatkan gangguan operasi hospital, penutupan bank dan pejabat juga kosong.
Ratusan tentera dan polis dikerahkan pada awal pagi semalam ke stesen kereta api Ma Hlwa Gone dan perkarangan perumahan kakitangannya, di mana kira-kira 800 pekerja menyertai gerakan mogok.
“Sekitar 300 anggota keselamatan menghalang jalan untuk mencari orang yang terlibat dalam gerakan ketidakpatuhan sivil,” kata seorang wanita berusia 32 tahun yang tinggal di kawasan perumahan itu.
GAMBAR IHSAN AFP
“Saya melarikan diri, tetapi ada ramai yang masih di situ. Saya bimbang dengan pekerja yang tinggal. Saya hanya berharap mereka tidak ditangkap,” katanya.
Di pusat bandar San Chaung di Yangon semalam, kelihatan kehadiran polis yang ramai berikutan berlaku kekacauan dua malam berturut-turut ketika pasukan keselamatan membuat sekatan jalan raya bagi menghalang sekitar 200 penunjuk perasan anti-kudeta.
Berlaku juga kekacauan di kawasan Okkalapa Utara apabila kira-kira 100 penunjuk perasaan di tahan. Penyelamatan tempatan turut mendakwa beberapa penunjuk perasaan dipukul.