DONALD TRUMP TAK TAHU MALU
DONALD TRUMP TAK TAHU MALU
WASHINGTON – Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tanpa segan silu meminta penyokongnya menyalurkan sumbangan terus kepadanya dan bukan lagi kepada parti Republikan (GOP).
Kenyataan itu dikeluarkan bilionair hartanah terbabit selepas peguamnya meminta Jawatankuasa Kebangsaan Republikan (RNC) dan kumpulan GOP lain supaya tidak lagi menggunakan nama atau pengaruh beliau untuk mendapatkan dana.
Trump yang tidak pernah lekang dengan kontroversi menerusi Twitter menyatakan Tiada Lagi Wang Untuk RINOs akronim yang digunakan untuk mengkritik ahli politik GOP yang didakwa mentadbir seperti anggota Demokrat, lapor Agensi.
“Hantarkan sumbangan anda kepada Save America PAC di DonaldJTrump.com.
“Kita akan kembali semula lebih kuat daripada sebelum ini!,” ujarnya di laman blog mikro tersebut pada Isnin.
Sehari selepas itu, Trump sekali lagi menyelar RINOs dan menyatakan sokongan penuh beliau terhadap GOP.
Difahamkan, ia bukanlah pertama kali Presiden ke-45 AS itu meminta sumbangan dana sejak beliau meninggalkan Rumah Putih pada 20 Januari lalu.
Dalam ucapannya pada akhir bulan lalu, Trump membuat permintaan sama dengan alasan dana itu kononnya untuk memilih presiden konservatif Republikan pertama.
Beliau yang tidak menolak bertanding semula pada 2024 dikatakan sedang bersiap-sedia untuk merekrut calon GOP yang menyokongnya untuk pemilihan pada tahun depan selepas sebahagian daripada anggota Republikan yang menyertai Demokrat mengiktiraf kemenangan Presiden Joe Biden.