TUJUH RUMAH KEDAI DIJILAT API
TUJUH RUMAH KEDAI DIJILAT API
PARIT BUNTAR: Tujuh buah rumah kedai musnah dijilat api dalam kebakaran di Kampung Simpang 3, Kuala Kurau di sini petang tadi.
Kejadian kira-kira pada pukul 2 petang itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kehilangan jiwa mahupun kecederaan kepada orang awam.
Pemangku Penolong Pengarah Kanan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Syahrizal Aris berkata, pihaknya terus bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan dan anggota bertugas kemudiannya mendapati api sedang marak membakar tiga buah rumah kedai kelas C.
“Ketika anggota tiba, api sedang marak membakar tiga buah bangunan rumah kedai dan atas faktor cuaca panas serta tiupan angin di kawasan itu menyebabkan ia cepat merebak ke rumah kedai lain.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
“Seramai 24 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kurau, BBP Parit Buntar dan BBP Bagan Serai berusaha mengawal kebakaran daripada merebak dibantu enam pasukan bomba sukarewan (PBS),” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Tambah Muhamad Syahrizal, pihaknya mengambil masa selama 40 minit untuk mengawal api sepenuhnya.
“Kebakaran tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa serta kecederaan dan ketika kejadian kebanyakan premis ini tidak beroperasi kecuali sebuah kedai runcit, lapor KOSMO! Online.
“Lima buah rumah kedai musnah antara 60 hingga 80 peratus manakala dua unit lagi hanya musnah 10 peratus. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad yang turut melawat lokasi kebakaran mengingatkan orang ramai agar menaik taraf pendawaian lama di premis masing-masing bagi mengelakkan litar pintas yang boleh mengakibatkan kebakaran.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
“Pendawaian yang lama adalah pendawaian yang jenis melekat ke dinding iaitu wayar elektrik berada di luar dan berkemungkinan pendawaian itu kini sudah reput.
“Jadi saya berharap agar orang ramai dapat menaik taraf pendawaian wayar elektrik yang terkini iaitu mengunakan salutan paip PVC agar lebih selamat,” katanya.