AUSTRALIA HENTI GUNA KANDUNGAN MEDIA CHINA
AUSTRALIA HENTI GUNA KANDUNGAN MEDIA CHINA
SYDNEY: Stesen penyiaran Australia, SBS hari ini menyatakan akan berhenti menggunakan kandungan daripada televisyen milik negara China, sementara menunggu penilaian semula mengenai hak asasi manusia yang serius.
Televisyen, radio dan laman web Australia yang mengkhususkan kandungan pelbagai bahasa, pelbagai budaya menyatakan pihaknya sedang menyiasat penyiaran CGTN dan CCTV yang menyiarkan puluhan pengakuan tahanan paksa, lapor AFP.
Menurut SBS, pihaknya sudah dihubungi oleh pertubuhan hak asasi manusia, Safeguard Defenders berhubung keputusan CGTN dan CCTV untuk menyiarkan mengenai sekurang-kurangnya 56 pengakuan tahanan yang ditahan di bawah tekanan atau penyiksaan daripada tahun 2013 hingga 2020.
“SBS telah menerima aduan yang sedang dikaji.
“Disebabkan kami mengambil perhatian secara serius dan kerumitan kandungan penyiaran terbabit, maka kami membuat keputusan menangguhkan penyiaran buletin berita CGTN dan CCTV yang berasal dari luar negara, sementara kami melakukan penilaian terhadapnya,” kata jurucakap stesen penyiaran itu.
Langkah itu kemungkinan akan merenggangkan lagi hubungan antara Australia dan China, yang sudah berada pada titik terendah dalam beberapa dekad.
Australia mengambil keputusan membataskan pengaruh individu, organisasi dan firma teknologi yang berkaitan China di negaranya.
Ia juga melarang syarikat berkaitan China untuk membeli dua syarikat tempatan dan menilai semula sejumlah pelaburan terdahulu.
China pula bertindak balas dengan sekatan terhadap sejumlah eksport Australia, dari gandum dan arang batu hingga kepada wain dan udang kara.
Tahun lalu, seorang wartawan China-Australia dipenjara dan dua wartawan Australia yang lain terpaksa meninggalkan China.
GAMBAR HIASAN
Pihak berkuasa Australia juga menyerbu rumah empat wakil media negara China bagi menyiasat operasi pengaruh tersembunyi.
SBS berkata, ia menyiarkan 15 minit penyiaran CGTN dalam bahasa Mandarin dan 30 minit CCTV dalam bahasa Inggeris sebagai sebahagian daripada program berita antarabangsa World Watch.