209 PROJEK PERUMAHAN BERJAYA DISELESAIKAN.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya menyelesaikan 71 peratus laporan projek perumahan terbengkalai di seluruh negara, sehingga Ogos lalu.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib berkata, jumlah itu membabitkan 209 daripada 281 laporan projek perumahan terbengkalai yang diterima KPKT sejak awal tahun ini.
“Projek (perumahan) terbengkalai ini berpunca daripada pelbagai sebab, antaranya ketidakmampuan kontraktor melaksanakan kerja mengikut jadual dan faktor seperti gangguan Koronavirus (COVID-19) seperti yang dialami seluruh dunia yang mengakibatkan pekerja-pekerja tak dapat meneruskan kerja di tapak pembinaan.
“Apa pun, kita di KPKT mengambil langkah segera bagi menyelesaikan isu ini kerana ia menyebabkan pelbagai masalah… pembeli yang terpaksa membayar pinjaman bank walaupun rumah tak siap, mereka (pembeli) itu juga terpaksa membayar sewa rumah sementara menunggu rumah dibeli dapat diduduki, ini semua masalah yang perlu kita lihat dan selesaikan.
“Jadi, sehingga 31 Ogos lalu, 209 daripada 281 projek terbengkalai berjaya kita cari jalan penyelesaian dan ada antaranya sudah memulakan kerja, 15 daripadanya membabitkan kerja pemulihan semula projek dan 31 lagi sedang dalam proses mengenalpasti kaedah yang boleh dilakukan bagi menyiapkan projek berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada 49 Jawatankuasa Kemajuan dan Kesejahteraan Kampung (JKKK) Parlimen Maran di sini, hari ini.
Sementara itu, Ismail berkata, terdapat 18 projek perumahan terbengkalai di Pahang dan tiga daripadanya berada dalam kawasan Parlimen Maran.
Katanya, perkara itu sudah beliau maklumkan kepada Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin dan beliau memberi jaminan untuk memberi tumpuan khusus kepada isu projek perumahan terbengkalai di kawasan Parlimen Maran dan Pahang.
#SAHIH
#YANGPASTISAHIH