JANGAN TUNGGU SAAT AKHIR
Berita Politik
JANGAN TUNGGU SAAT AKHIR
SEREMBAN: Perlu ada perbincangan lebih awal antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi mengelak kemelut seperti dalam isu pelantikan Ketua Menteri Sabah.
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, berkata kedua-dua pihak perlu mencari titik pertemuan seperti isu pengagihan kerusi termasuk jawatan Menteri Besar yang tidak sewajarnya diputuskan pada saat-saat akhir bagi mengelak salah faham.
“Kalau kita buat awal dan ada semangat hormat menghormati antara satu sama lain, saya rasa perkara ini dapat dielakkan tetapi kalau kita buat kerja saat-saat akhir dan kita pun buat tanpa pengetahuan kawan, itu boleh menimbulkan masalah.
“Tapi saya harap tidak ada pihak luar yang melagakan kita dan kita dapat selesaikan masalah antara UMNO dan PN,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan program Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku (WINS), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Sembilan, dekat sini, hari ini.
Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata disebabkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diadakan secara mengejut, parti gabungan tidak mempunyai masa yang cukup untuk berunding.
Beliau yakin BN dan PN masih mempunyai masa untuk berunding dalam menghadapi PRU-15.
“Kita bincang elok-elok, (sebagai contoh) negeri ini, parti ini akan jadi Menteri Besar, sekiranya prestasi mereka begitu, ya ia bergantung kepada prestasi juga.
“Jadi saya rasa, Sabah ini ada hikmahnya juga sebab ia menunjukkan bahawa kalau kita tidak buat perbincangan dengan elok, lebih awal, ia menimbulkan macam-macam salah faham,” katanya.