TIADA ISU BN, UMNO TAK PUAS HATI
Berita Nasional/Politik
TIADA ISU BN, UMNO TAK PUAS HATI
KOTA KINABALU: Tiada isu pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak berpuas hati mengenai agihan portfolio Kabinet Negeri Sabah yang baharu.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor berkata, pemimpin parti terbabit memberikan sokongan penuh kepada pembahagian jawatan yang dibuat.
“Mana ada (spekulasi tidak puas hati)… UMNO ada sini (dalam sidang media),” katanya ringkas dalam sidang media pertama sebagai Ketua Menteri Sabah di Pejabat Ketua Menteri, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi pemimpin UMNO dan BN tidak bersetuju dengan agihan portfolio.
Sementara itu, Hajiji yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah turut ditanya sama ada bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman akan dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah yang baharu.
Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman itu tidak memberikan sebarang komen berhubung perkara tersebut.
Dalam sidang media sama, Hajiji turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada ADUN yang memberi sokongan kepada beliau untuk memimpin kerajaan negeri.
“Sesungguhnya saya adalah Ketua Menteri kepada kerajaan Negeri yang inklusif dan akan memberikan sepenuh khidmat kepada semua rakyat di Sabah, tanpa mengira perbezaan latar belakang dan pegangan politik.
“Amanah dan tanggungjawab ini amat besar dan mencabar,” katanya lagi.
Sumber: ASTRO Awani