PEKAN SEHARI, PASAR MALAM DITUTUP 14 HARI
Berita Nasional
PEKAN SEHARI, PASAR MALAM DITUTUP 14 HARI
JERANTUT: Semua aktiviti pasar malam, pekan sehari dan majlis berskala besar termasuk kenduri di daerah Jerantut ditangguhkan selama 14 hari bermula hari ini.
Arahan itu adalah sebagai langkah mencegah penularan wabak COVID-19.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Jerantut menerusi kenyataan media di sini juga menyatakan semua pusat riadah dan rekreasi yang tidak dapat menjamin aspek penjarakan fizikal, tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh itu.
Ini termasuk lokasi aktiviti pendakian iaitu Bukit Seladang, Bukit Panau dan Bukit Merah serta Taman Tasik Teratai dan Via-Ferratta Paya Gunung yang terkenal dengan aktiviti lasak memanjat dinding berbatu.
“Tindakan ini diambil berikutan pengesanan empat kes positif baharu pada 25 dan 27 September lalu di daerah ini.
“Masjid Tengku Ahmad Jerantut dan Surau Al-Muflihin di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Peringkat 3 dan 4 serta tadika dan taska di situ, termasuk PAKR Bandar Baru Jerantut juga ditutup selama 14 hari,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, semua premis makanan di PAKR Bandar Baru Jerantut, PAKR 3 dan 4 juga hanya dibenarkan beroperasi secara bungkus (take-away) buat masa ini.
Selain itu, taklimat Pelaksanaan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 yang dijadualkan di Jerantut selama lima hari bermula Khamis ini juga ditangguhkan.
Kenyataan itu menambah penduduk di situ boleh mengajukan pertanyaan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana di talian 09-2661641 atau Bilik Gerakan, Pejabat Kesihatan Daerah di 09-2662744 sehingga 5 petang setiap hari, termasuk pada hujung minggu dan cuti kelepasan am.
Sumber: BERNAMA