SUSPEK CURI KERETA DI PAM MINYAK DITAHAN
Berita Jenayah
SUSPEK CURI KERETA DI PAM MINYAK DITAHAN
TEMERLOH: Polis berjaya mengesan dan sudah menahan suspek yang mencuri kereta di pam minyak di Mentakab, dekat sini, pagi semalam.
Kejadian itu viral sejak petang semalam, selepas rakaman CCTV terbabit dikongsi netizen melalui laman sosial Facebook dan WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, suspek dikesan dan ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Selangor, kira-kira jam 1 petang semalam.
“Sebaik menerima laporan kejadian daripada mangsa, kita menjalankan siasatan di tempat kejadian dan meneliti rakaman CCTV stesen minyak berkenaan.
“Hasil siasatan itu, kita berjaya mengenalpasti identiti suspek dan meminta bantuan balai polis lain untuk membantu mengesan suspek… hasilnya, kita berjaya menahan suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan penyalahgunaan dadah di Subang Jaya, petang semalam,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Beliau berkata, suspek sudah dibawa ke IPD Temerloh dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi semalam, kereta milik mangsa yang juga seorang pelajar berusia 20 tahun, dilarikan suspek ketika mangsa sedang mengisi minyak di stesen minyak terbabit.
Mangsa yang tidak mematikan enjin kenderaan ketika mengisi minyak turut mengalami kecederaan ringan akibat terjatuh ketika cuba mengejar suspek yang sedang melarikan kereta miliknya.
Sementara itu, Mohd Yusri menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan peka dengan persekitaran mereka setiap kali berurusan di stesen minyak bagi mengelak insiden tidak diingini berlaku.
Katanya, pengguna diingatkan supaya mematikan enjin kenderaan apabila ingin mengisi minyak dan mengunci kereta bagi tujuan keselamatan.