RAJA GELEK MAKIN SIHAT
RAJA GELEK MAKIN SIHAT
BAGAN DATUK: Keadaan Raja Gelek Malaysia, Datuk M Daud Kilau, 83, semakin pulih selepas menjalani prosedur pembedahan angioplasty di Institut Jantung Negara (IJN) pada November, tahun lalu.
Sebelum itu, penyanyi lagu Sirih Pinang dimasukkan ke Hospital Teluk Intan (HTI) selepas mengadu sesak nafas.
Anak keduanya, Ahmad Zaini Muhammad Daud, 50, berkata, bapanya sudah tidak mengalami sesak nafas selepas tiga salur darahnya dimasukkan alat sten dalam pembedahan berkenaan.
“Keadaan kesihatan ayah semakin baik selepas menjalani pembedahan. Beliau juga sudah tidak sesak nafas dan tercungap-cungap lagi.
“Selera makan pun okay, cuma biasalah orang tua, ada kala selera makan turun naik,” katanya ketika dihubungi BH Online.
Menurutnya, bapanya kini banyak menghabiskan masa dengan berehat dan beribadah di rumah.
“Ayah lebih suka berehat di rumah selepas menjalani pembedahan, apatah dalam situasi pandemik COVID-19,” katanya.
M Daud atau nama sebenarnya, Muhammad Daud Kilau yang turut dikenali dengan lagu Cek Mek Molek dan Gila Judi berdepan masalah kesihatan, sejak lima tahun lalu.
Beliau yang mempunyai penyakit kencing manis kini tidak boleh berdiri lama, kebas kaki dan tangan serta pinggang sakit, selain jantung tidak stabil dan kurang daya pendengaran.