MUHAMMAD HAIKAL PELAJAR LUAR BIASA
MUHAMMAD HAIKAL PELAJAR LUAR BIASA
KUALA LUMPUR : Ketabahan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru, Kuala Kangsar, Perak, Muhammad Haikal Iskandar Zamry yang kehilangan bapanya ketika sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Rabu lalu, turut mendapat perhatian Timbalan Menteri KPKT, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib.
Beliau yang juga ahli Parlimen Maran melalui rakaman video merakamkan ucapan takziah dan menganggap Muhammad Haikal sebagai seorang pelajar yang luar biasa.
“Walaupun berdepan dugaan sebegitu berat, (Muhammad) Haikal tetap meneruskan (menduduki) peperiksaan SPM selepas menatap jenazah ayahnya.
“Ini adalah satu semangat yang cukup luar biasa dan saya sangat tersentuh dengan ketabahan pelajar berkenaan dan berharap dia memperoleh keputusan yang terbaik dalam peperiksaan berkenaan,” katanya.
Timbalan Menteri KPKT, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib.
Pada Rabu lalu, viral satu video klip menunjukkan van jenazah membawa jasad bapa kepada seorang calon SPM memasuki perkarangan SMK Simpang Beluru.
Video dirakam guru bimbingan dan kaunseling sekolah itu, Badariah Mohd Mohaidin memaparkan Muhammad Haikal diberi kesempatan menatap wajah bapanya yang sudah tidak bernyawa buat kali terakhir sebelum peperiksaan kertas mata pelajaran Sejarah.
Difahamkan, bapa pelajar itu pada mulanya koma ketika dirawat di Hospital Taiping sejak kelmarin akibat komplikasi buah pinggang, hati selain jangkitan kuman dalam darah namun pelajar terbabit tidak berpeluang menziarahi arwah disebabkan prosedur operasi standard (SOP) mengekang wabak Covid-19.
“Arwah meninggal dunia semalam namun baru hari ini jenazah dibenarkan keluar dari hospital untuk dikebumikan. Bagaimanapun Haikal (Muhammad Haikal Iskandar) tetap ingin menduduki kertas hari ini walaupun sedia tahu ayahnya sudah tiada.
“Ketibaan van jenazah ke sekolah sememangnya untuk beri peluang kepada Haikal menatap wajah arwah buat kali terakhir memandangkan peperiksaan yang didudukinya sehingga petang.
“Jika Haikal balik rumah untuk menghadiri pengebumian ayahnya memang tidak sempat, bahkan Haikal terlewat 20 minit berbanding calon lain yang sudah masuk menduduki kertas Sejarah 2 ketika menghabiskan masa menatap arwah bapanya itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, sebelum ketibaan van jenazah itu, Haikal ditenangkan guru-gurunya yang melihat dia menangis tanpa henti pada waktu rehat selain menyediakan bilik khas bagi dia bertenang dan melepaskan emosinya yang tidak begitu stabil.
Beliau berkata, Haikal yang mengikuti aliran Sains Kemanusiaan adalah anak sulung dari tiga beradik dengan latar belakang keluarganya adalah dari keluarga kurang berkemampuan.-Sahih.