PASANGAN KEKASIH BAKAL DIDAKWA
PASANGAN KEKASIH BAKAL DIDAKWA
KUALA LUMPUR: Sepasang kekasih yang ditahan berhubung kes kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun disyaki akibat didera, akan didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi, hari ini.
Pasangan itu dijangka berdepan dua pertuduhan membabitkan dakwaan mendera dan membunuh.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata kedua-duanya akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
“Seorang wanita berusia 31 tahun dan lelaki berumur 28 tahun ditahan, 18 Februari lalu, susulan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang juga anak kandung suspek wanita.
“Kanak-kanak itu disyaki didera yang membawa kepada kematian mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Media sebelum ini melaporkan Mohd Zaid berkata, polis menerima laporan daripada petugas Jabatan Kecemasan Hospital Kajang memaklumkan mangsa dihantar ibunya ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Beliau dipetik sebagai berkata, pemeriksaan lanjut doktor mendapati mangsa mengalami kecederaan di kemaluan dan ada kesan lebam di beberapa bahagian badan, lapor BH ONLINE.
Berikutan kejadian mangsa disyaki didera di sebuah pangsapuri di Semenyih itu, polis menahan ibunya yang tidak bekerja dan suspek lelaki bekerja sebagai penarik kereta.