MAT SALLEH CELUP RAJA ILYA MAKIN SEKSI
MAT SALLEH CELUP RAJA ILYA MAKIN SEKSI
KUALA LUMPUR: Nama pelakon seksi, Raja Ilya, 36, tidak lepas cengkaman kontroversi, biarpun kini menetap di Perth, Australia, selepas penularan pandemik COVID-19, sejak setahun lalu.
Pelbagai isu tular mengaitkan nama isteri kepada Trent Garret itu termasuk isu perbandingan majlis perkahwinan di Malaysia dan luar negara ketika pandemik COVID-19.
“Seperti kenyataan saya sebelum ini, itu adalah gambar hiasan. Dan, mungkin ada yang ingat dua gambar yang dimuat naik itu diambil ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.
“Sebenarnya, ia gambar lama. Ia memang jauh berbeza jika dibandingkan dengan majlis perkahwinan pada saat ini. Apabila dikaji semula, dalam 40 peratus netizen menghukum saya dengan kata kesat.
“Selebihnya, kebanyakan warga Malaysia berbangsa Cina dan India cuba memahami netizen yang melihat dari sudut negatif di platform lain.
“Saya ada muat naik video dalam Instagram untuk menjelaskan perkara sebenar, sekali gus memohon maaf kepada netizen yang kurang selesa dengan entri berkenaan,” katanya kepada BH Online.
Dalam pada itu, imej Raja Ilya yang dikatakan semakin seksi juga dipertikaikan, hingga ada yang melemparkan tanggapan pelakon filem KL Vampires itu selesa berpakaian mencolok mata dan daring selepas terikut-ikut dengan gaya kebaratan memandangkan suaminya berbangsa asing.
“Kalau terdesak namanya melacur diri dan lebih baik berbogel. Bagi saya, seksi sangat subjektif. Saya suka berpakaian menunjukkan bentuk badan dan singkat sejak awal menceburi bidang lakonan.
“Istilah seksi pemahaman sangat luas. Ada berpakaian sopan, tetapi tetap nampak seksi daripada pandangan mata seseorang. Seksi tidak terbatas kepada konsep mendedahkan kulit atau berpakaian sendat sahaja,” katanya.
Raja Ilya atau nama sebenarnya, Raja Ramilah Begum Raja Mohammad juga menafikan terikut-ikut budaya barat.
“Budaya barat ini sudah sebati dalam hidup saya sejak kecil. Apabila berkahwin dan tinggal di luar negara, barulah saya sedar betapa ceteknya pemikiran dan naifnya saya.
“Saya mudah percaya apabila ada yang mengatakan orang barat jahil dan macam-macam lagi. Saya percaya orang lain pun beranggapan sama, kita suka sangat menghukum.
“Saya nak memperbetulkan tanggapan salah ini. Hakikatnya, orang barat juga ada kepercayaan dan agama.
“Kebanyakannya, beragama Kristian dan lain-lain. Sama seperti negara kita ada pelbagai agama dan bangsa. Mereka juga ada yang kuat agama dan menjunjung budaya sendiri,” katanya.
Wanita kelahiran Ipoh, Perak itu berkata, ada yang pantas membuat penilaian dan menganggap orang barat jahil dan jahat apabila melihat sesuatu perkara.
“Diakui, memang ada yang hidup tanpa agama dan kepercayaan di luar negara.
“Tetapi, kita tidak boleh menghukum sesebuah negara disebabkan segelintir tidak beragama.
“Rumusannya, kita kena fikir positif, banyak membaca dan menambah ilmu. Jangan cepat menghukum,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas usahanya untuk kembali ke Malaysia, Raja Ilya berkata, dia belum dapat memberi jawapan pasti.
“Genap setahun saya berada di Perth pada 15 Februari lalu. Jika boleh, saya memang nak balik Malaysia secepat mungkin seandainya pintu sempadan dibuka.
“Tetapi, saya berhati-hati, bimbang tersilap percaturan akan membawa padah kepada diri sendiri dan orang lain,” katanya.