RIBUAN PENDUDUK TUNTUT PM LETAK JAWATAN
RIBUAN PENDUDUK TUNTUT PM LETAK JAWATAN
YEREVAN: Ribuan penyokong pembangkang berarak menuju ke ibu kota Armenia hari ini bagi menuntut peletakan jawatan Perdana Menterinya, Nikol Pashinyan.
Protes itu dilakukan kerana beliau dilihat gagal menguruskan perang pada tahun lalu dengan Azerbaijan, yang dianggap satu penghinaan terhadap negara.
Jalan sekitar bandar Yerevan dibanjiri rakyat yang mengibarkan bendera Armenia dengan melaungkan slogan anti-kerajaan, beberapa jam sebelum pertemuan bersama bekas presiden negara Soviet, lapor AFP.
Bekas Perdana Menteri Armenia, Vazgen Manukyan, yang disebut-sebut oleh penyokong pembangkang untuk menggantikan Pashinyan, menyeru rakyat Armenia menyertai protes berkenaan.
“Rakyat mesti turun ke jalanan dan meluahkan keinginan mereka supaya kita dapat mengelakkan pertumpahan darah serta kekacauan.
GAMBAR IHSAN AFP
“Sama ada kita menyingkirkan mereka (kerajaan semasa) atau akan kehilangan Armenia,” kata Manukyan merujuk kepada Pashinyan dan sekutunya yang mengawal Parlimen.
Sejak semalam, Armenia kembali berdepan krisis politik selepas Pashinyan enggan berundur dan menuduh pihak tentera ingin melakukan rampasan kuasa dengan menghimpunkan kira-kira 20,000 penyokong di Yerevan.
Dalam pada itu, kumpulan pembangkang turut mengumpul kira-kira 10,000 penyokongnya yang mendirikan benteng dan khemah di luar bangunan Parlimen serta berjanji akan terus melakukan demonstrasi secara berterusan.
Krisis yang masuk hari kedua itu terus meningkat selepas Pashinyan mengkritik demonstrasi jalanan dan turut menyekat laluan berdekatan bangunan Parlimen sebagai persediaan mematahkan tunjuk perasaan.