RAMPASAN TERBESAR KOKAIN DI EROPAH
RAMPASAN TERBESAR KOKAIN DI EROPAH
BERLIN: Jerman dan Belgium merampas 23 tan kokain dalam serbuan dadah terbesar di Eropah, kata kastam Jerman.
“Jumlah kokain seperti itu menyamai hasil jualan jalanan mencecah beberapa bilion Euro,” kata pejabat kastam dalam satu kenyataan.
Pegawai Jerman telah menemui 16 tan kokain yang disembunyikan dalam kontena dari Paraguay di pelabuhan Hamburg pada 12 Februari.
Siasatan bersama dengan pegawai Belanda membawa pihak berkuasa mendapatkan 7.2 tan kokain di pelabuhan Antwerp di Belgium, kata kastam Jerman.
Seorang lelaki berusia 28 tahun ditangkap di Belanda semalam, yang dipercayai ada kaitan dengan serbuan di Jerman dan Belanda.
Pegawai kastam di pelabuhan Hamburg memutuskan untuk melihat lebih dekat kontena dari Paraguay selepas mengesyaki sesuatu yang pelik pada kandungan dalam kontena itu.
Ia dipenuhi tin yang mempunyai kandungan berbeza.
Penyiasat memerintahkan bekas itu diselongkar, dan menemui kokain dalam lebih 1,700 tin, lapor AFP.
“Ini adalah jumlah kokain terbesar yang pernah disita di Eropah dan salah satu penyitaan terbesar di seluruh dunia,” kata kastam Jerman, yang merujuk kepada kejadian di Hamburg.
Secara keseluruhan, 102 tan kokain yang dalam perjalanan ke benua Eropah dipintas tahun lalu oleh projek penguatkuasaan undang-undang antarabangsa dilaksanakan bersama oleh Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).