9 WANITA FILIPINA DISYAKI PENGGANAS
9 WANITA FILIPINA DISYAKI PENGGANAS
MANILA: Sembilan wanita yang disyaki terbabit dalam insiden meletupkan sasaran tentera di selatan Filipina, ditahan.
Semua suspek ditahan pihak berkuasa dalam serbuan di beberapa kediaman berhampiran Pulau Jolo yang majoritinya dihuni penduduk Islam selain merampas peralatan membuat bom.
Jeneral Mejar William Gonzales dalam satu kenyataan berkata, kebanyakan wanita itu adalah anak serta balu kepada pejuang Abu Sayyaf termasuk mereka yang berpotensi menjadi pengebom berani mati, lapor AFP.
GAMBAR IHSAN AFP
“Mereka begitu terdesak untuk membalas dendam kepada kerajaan hingga sanggup mengorbankan keluarga masing-masing,” katanya.
Menurut Leftenan Pertama Jerrica Manongdo pula, hasil pemantauan mendapati wanita terbabit menyalurkan bantuan kewangan serta logistik kepada Abu Sayyaf.
Mereka didakwa cuba melancarkan serangan terhadap anggota tentera menggunakan objek peranti letupan (IED).
Tiga daripada wanita berkenaan adalah anak kepada bekas pemimpin Abu Sayyaf, Hatib Hajan Sawadjaan, yang dituduh merancang serangan maut di Gereja Joloo yang mengorbankan 21 orang tahun lalu.
Penahanan semua suspek dibuat enam bulan selepas dua wanita pengembom berani mati, termasuk seorang warga Indonesia meletupkan diri mereka di Jolo, mengorbankan 15 orang serta mencederakan 47 yang lain.