UMNO BUKAN LAGI SEKUAT DULU
UMNO BUKAN LAGI SEKUAT DULU
SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengingatkan UMNO supaya akur bukan lagi menjadi kuasa besar dalam politik negara.
Ketua Armada, Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal berkata, situasi politik pada masa kini menuntut semua parti bekerjasama memastikan agenda politik parti masing-masing dapat dijayakan.
GAMBAR HIASAN
“Sekiranya tidak bekerjasama, kita semua rugi dan berkemungkinan kalah nanti.
“BERSATU masih mengharapkan UMNO bersama Perikatan Nasional (PN) supaya pertembungan tiga penjuru dapat dielakkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke tiga fasiliti sukan di sekitar Shah Alam di sini hari ini.
Minggu lalu Utusan Malaysia melaporkan UMNO tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).
Menurut sumber, keputusan berkenaan dibuat ahli Majlis Tertinggi UMNO dalam satu mesyuarat di Janda Baik, Pahang.
Wan Ahmad Fahysal berkata, kedegilan UMNO untuk tidak bekerjasama dalam PN hanya mengakibatkan parti itu termasuk BERSATU dan PAS kalah dalam PRU-15.
Jelasnya, tiga parti itu berkemungkinan kalah sekiranya tidak bersama, sekali gus hasrat mewujudkan sebuah kerajaan stabil tidak kesampaian.
“Pilihan raya diadakan bagi memilih pihak yang boleh mewujudkan kerajaan stabil dan mempunyai majoriti kukuh serta tidak tergugat di Dewan Rakyat.
“Oleh demikian, kerajaan stabil diperlukan kerana tidak mahu rakyat diheret ke situasi politik tidak stabil,” jelasnya.