WARAN TANGKAP UNTUK SAJAT
WARAN TANGKAP UNTUK SAJAT
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap usahawan kosmetik Nur Sajat, kerana gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kesnya hari ini tanpa sebarang sebab.
Menurut sumber, waran tangkap itu dikeluarkan oleh Hakim Syarie Mohammad Khalid Shaee@Shaii.
Peguam syarie Zuri Zaibuddin Budiman yang mewakili usahawan itu mengesahkan perkara berkenaan dan berkata kes ditangguh ke 1 Jun depan, lapor Bernama.
“Saya pun tunggu dia datang, tetapi tiada. Dia diwajibkan hadir pada tarikh baharu,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan mahkamah hari ini.
GAMBAR HIASAN
Selain Zuri Zabuddin, usahawan kontroversi itu turut diwakili peguam syarie Ahmad Nazib Johari, Noor Azlina Che Hassan dan Amirah Zainal.
Pada 6 Januari lalu, Sajat, 36, dituduh berpakaian seperti wanita dalam satu majlis bacaan Yasin dan solat hajat sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina di pusat kecantikan miliknya di Seksyen 16, Shah Alam, pada 7.30 malam, 23 Februari 2018.
Dia didakwa mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan jadual asal, Sajat sepatutnya menghadapi sebutan semula kes tersebut pada 9 pagi tadi, namun hingga prosiding berakhir, kelibatnya tidak kelihatan.