ZAHID HORMAT KEPUTUSAN UMNO SABAH
Berita Politik
ZAHID HORMAT KEPUTUSAN UMNO SABAH
KUALA LUMPUR: Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menghormati autonomi Umno Sabah untuk sepakat dengan parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) lain dalam mencalonkan Hajiji Mohd Noor sebagai ketua menteri baru.
Ini meskipun Zahid yang juga Presiden UMNO sebelum ini bertegas bahawa jawatan Ketua Menteri Sabah seharusnya diserahkan kepada UMNO sebagai parti individu yang memenangi jumlah kerusi DUN terbesar.
“Saya dimaklumkan oleh Pengerusi UMNO Sabah Bung Moktar Radin setelah rundingan dibuat di kalangan ADUN GRS yang menang, akhirnya bersepakat untuk mencalonkan Hajiji Mohd Noor, demi memastikan kepentingan rakyat Sabah dapat segera diperjuangkan setelah diabaikan kerajaan WARISAN sebelum ini.
“Saya hormati keputusan tersebut atas dasar semangat autonomi UMNO Sabah yang telah pun dipersetujui bersama.
“Semoga kerajaan baharu yang dibentuk ini dapat segera memberi tumpuan kepada pelbagai agenda untuk membela kepentingan rakyat Sabah sebagaimana yang termaktub dalam Akujanji GRS,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Pilihan raya Negeri (PRN) Sabah Sabtu lalu menyaksikan GRS tampil sebagai pemenang setelah menawan 38 kerusi.
Sementara itu WARISAN Plus sekadar memperoleh 32 kerusi. Tiga kerusi lain dimenangi calon bebas.
Hajiji, yang juga Ketua BERSATU Sabah sebelum ini dicadangkan oleh Presiden BERSATU Muhyiddin Yassin sebagai calon ketua menteri.
Bung, yang menang di kerusi Lamag dan juga ahli Parlimen Kinabatangan dilihat calon utama BN untuk jawatan itu.
Kebuntuan calon ketua menteri GRS berakhir apabila dalam sidang media awal hari ini Hajiji mengumumkan dia dan rakan sekutunya dalam gabungan berkenaan sepakat mencalonkan dirinya sebagai ketua menteri.
Sidang media di Kota Kinabalu itu turut dihadiri Bung Moktar Radin.
Susulan itu, Jabatan Penerangan Sabah memaklumkan majlis angkat sumpah jawatan ketua menteri Sabah yang baru dijadual bermula pukul 10.30 pagi esok di Istana Negeri Sabah.
Sumber: Malaysiakini