RM18 JUTA BINA TANGKI MENDAPAN LOJI RAWATAN AIR DI RAUB
RM18 JUTA BINA TANGKI MENDAPAN LOJI RAWATAN AIR DI RAUB
RAUB: Kerajaan pusat memperuntukan RM 18 juta untuk membina tiga tangki mendapan sebagai mengambil langkah isu kekeruhan air yang melibatkan sebanyak 19,970 akaun pengguna yang sering menghantui penduduk setempat selama ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tiga Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Bilut, Sungai Semantan dan Sungai Klau di daerah Raub sering menjejaskan pengguna dengan kekeruhan air yang tinggi akibat pencemaran di ketiga-tiga sungai tersebut.
“Oleh itu LRA tidak mampu memproses tahap kekeruhan yang melampau dan kerap menjejaskan loji ditutup atau henti tugas dan tidak dapat membekalkan air mentah bersih bagi kegunaan penduduk setempat.
“Kerajaan negeri yang prihatin dengan masalah rakyat mengambil langkah proaktif menangani isu ini dan berjaya mendapatkan peruntukan daripada kerajaan pusat sejak 2018 dan kini permohonan telah diluluskan untuk memulakan pembinaan tangki berkenaan dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Permulaan Mengatasi Kekeruhan di Loji Rawatan Air Semantan, Kampung Kuala Liang, Raub, hari ini.
Katanya, pembinaan tangki mendapan di LRA Sungai Semantan bernilai RM 5.2 juta, LRA Air Sungai Klau (RM 3.4 juta) akan dimulakan dalam masa terdekat, manakala LRA Sungai Bilut masih menunggu keputusan daripada lembaga tender kementerian.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Parit dan Saliran (JPS) Pahang, Ir. Mohd Noor Bidin berkata dalam taklimat awal, LRA Bilut yang membekalkan sebanyak 20 juta liter sehari, LRA Sungai Semantan (18 juta liter) dan Sungai Klau sebanyak 10 juta liter sehari akan mendapat bekalan tanpa gangguan setelah siap pembinaan tangki itu dalam tempoh 52 minggu.