CHINA KERAH TENTERA KE LAUT CHINA SELATAN
CHINA KERAH TENTERA KE LAUT CHINA SELATAN
TAIPEI: Angkatan tentera udara Taiwan dikerah berkawal dua hari berturut-turut selepas berbelas pesawat tempur dan pengebom China melakukan latihan dekat pulau dikuasai Taiwan di Laut China Selatan.
Kementerian Pertahanan Taiwan berkata, China berulang kali mengadakan latihan tentera di perairan sempadan berdekatan zon pertahanan udara Taiwan, terkini di kawasan berhampiran Kepulauan Pratas.
Jumaat lalu, sembilan pesawat tentera udara China terbang berhampiran Kepulauan Pratas dan Kementerian Pertahanan Taiwan memberitahu mereka mengesan 11 pesawat semalam, lapor Agensi.
Ia termasuk lapan jet pejuang, dua pengebom H-6 dengan kuasa nuklear dan sebuah pesawat anti-kapal selam, yang dilihat berhampiran pulau berdekatan.
Mereka turut mendakwa pasukan tentera laut China terbabit tetapi tidak memberikan perincian lanjut.
Tentera Udara Taiwan memberi amaran kepada pesawat China untuk meninggalkan kawasan itu dan kini sedang mengatur sistem peluru berpandu bagi memantau kegiatan mereka.
GAMBAR IHSAN AGENSI
Bagaimanapun, China masih belum memberikan sebarang komen mengenai kegiatan selama dua hari itu.
Sebelum ini, Beijing memberi alasan latihan ketenteraan itu adalah sebagai tindak balas terhadap komplot Taipei dan Washington, bagi melindungi kedaulatan China.
Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) semalam mengulangi gesaan supaya Beijing menghentikan tekanan ketenteraan, diplomatik dan ekonomi terhadap Taiwan.
Kepulauan Pratas terletak di bahagian atas Laut China Selatan selama ini menjadi pertikaian banyak pihak dan kini turut dituntut China.