KUANTAN DIMASYURKAN SEBAGAI BANDAR RAYA
KUANTAN DIMASYURKAN SEBAGAI BANDAR RAYA
KUANTAN: Pada 21 Februari 2021, tercatat sejarah, bandar Kuantan dimasyurkan sebagai bandaraya pertama di Negeri Pahang oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menurut salah satu tulisan Munshi Abdullah (1795 – 1854), nama Kuantan telah pun digunakan pada era 1850an, yang mana kawasan penempatan itu telah dibuka oleh orang-orang Melayu zaman dahulu yang berhijrah dan menduduki kawasan tersebut.
Pada tahun 1955, Kuantan telah dimahsyurkan sebagai pusat pentadbiran negeri oleh Almarhum KDYMM Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’azzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu’tassim Billah Shah.
Kuantan yang mempunyai pelabuhan Sendiri dan berada berdekatan dengan kawasan perlombongan, Kuantan ternyata telah mengalami pertumbuhan pesat, sepertimana yang kita dapat lihat pada ketika ini.
Kegiatan perindustrian, perniagaan dan pelancongan yang terhasil daripada kemakmuran ini menyebabkan pertambahan penduduk yang signifikan dan Kuantan sebagai bandar ke 18 terpesat di Malaysia, seharusnya mengambil peluang ini bagi memastikan kelestarian dan kebahagiaan penduduknya terjaga.
Kepesatan pembangunan Bandar Kuantan ini terlihat dengan pelan-pelan pembangunan yang telahpun mula dilaksanakan seperti pembinaan The Kuantan 188 (menara tertinggi di pantai timur).
Pemerkasaan keupayaan pelabuhan dengan wujudnya Kuantan Port City, East Coast Rail Link (ECRL) yang bakal menghubungkan Kuala Lumpur ke Kuantan, Kuantan Waterfront Resort City di Tanjung Lumpur dan pelan pembangunan Greater Kuantan.
Sudah tentu dengan wujudnya pembangunan-pembangunan seperti ini akan mendatangkan peluang-peluang pekerjaan baharu yang akan dapat dinikmati oleh seluruh anak-anak Kuantan. Sekaligus akan dapat meningkatkan sosio-ekonomi rakyat dan menjana pertumbuhan negeri dengan lebih hebat.
Pengisytiharan Bandar Kuantan sebagai sebuah bandaraya juga akan berupaya meningkatkan lagi tahap perkhidmatan majlis bandaraya yang akan memberikan fokus utama dalam mengawal selia pembangunan, menambah kualiti perkhidmatan dan menjadi lebih peka terhadap kehendak rakyat, terutamanya dalam memudahkan urusan seharian penduduk di kawasan ini.
Diharapkan dengan pengisytiharan ini, akan dapat meningkatkan lagi semangat, bukan sahaja kepada kepada para pegawai yang bertugas, tetapi juga kepada seluruh anak-anak Kuantan untuk terus berusaha agar daerah ini akan terus maju dan berpotensi menjadi bandar paling cemerlang di Malaysia.
Diharapkan semua pihak kerjasama agar Kuantan akan menjadi sebuah bandar raya yang gah, di Malaysia, malah di Asia Tenggara dan di seluruh dunia.
#MajuTerusPahang #BandarayaKuantan.