ANGKASA URUS 140,000 HARTA BERNILAI RM60 BILION
ANGKASA URUS 140,000 HARTA BERNILAI RM60 BILION
TEMERLOH: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menerusi anak syarikat MYAngkasa Amanah mempergiatkan kempen menggalakkan orang ramai khususnya orang Melayu untuk mendaftar dan membuka fail wasiat masing-masing.
Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, kesedaran berkaitan dengan wasiat bertulis di kalangan orang Melayu masih kurang menyebabkan lebih RM60 bilion harta yang masih belum dituntut selepas berlaku kematian.
“Menerusi MyAngkasa Amanah, usaha begini cuba membendung masalah yang membelenggu orang Melayu yang tidak mempunyai hala tuju untuk menguruskan harta masing-masing dan bakal menimbulkan kerumitan selepas kematian.
“Kini, MyAngkasa sedang menguruskan 400 fail wasiat kepada waris yang sudah meninggal yang bernilai RM80 juta, disamping itu 140,000 fail lagi yang terdiri daripada ahli koperasi berjumlah RM19 bilion,” katanya
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Sumbangan Bantuan dan Ziarah Mangsa Banjir MyAngkasa Amanah Berhad (MAAB) di Kerdau, dekat sini, hari ini.
Katanya, yuran setiap pendaftaran untuk membuka fail wasiat sebanyak RM400 seumur hidup dianggap termurah di pasaran.
“Usaha begini selain membantu pengurusan harta si-mati, ia turut memperkasakan ekonomi orang Melayu dengan merangsang penglibatan dalam koperasi.
“Sektor ekonomi yang bernilai tinggi, menjadikan koperasi sekarang semakin diyakini oleh masyarakat kerana berupaya membantu memperbaiki dan meningkatkan taraf hidup melalui aktiviti secara berkumpulan,” katanya.
Abdul Fattah berkata, beliau merancang kira-kira 14,000 koperasi di seluruh negara menjadi agen atau wakil kepada MyAngkasa Amanah untuk berkerjasama melaksana dan mendidik serta memberi pendedahan kepada orang ramai terhadap kepentingan wasiat.
“Penerangan amat diperlukan kaedah merancang dan menulis wasiat serta amanah dalam menghadapi ketidaktentuan di masa hadapan demi kepentingan keluarga atau waris,”katanya.
Kepada orang ramai yang berminat untuk membuka fail wasiat dan harta pusaka masing-masing boleh menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif MyAngkasa Amanah Berhad, Faudzi Mt Din – 013-3347233 atau e-melnya, faudzi.k@myangkasaamanah.com.my