JAKIM SERAH PIHAK POLIS SIASAT
JAKIM SERAH PIHAK POLIS SIASAT
PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat isu video seorang lelaki India yang didakwa memurtadkan seorang wanita Islam.
Ketua Pengarahnya, Abdul Aziz Jusoh, berkata pihaknya difahamkan isu berkenaan sudah pun dalam perhatian dan tindakan polis selepas menerima aduan pelbagai pihak.
Katanya, tindakan undang-undang boleh diambil mengikut Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam yang berkuatkuasa di beberapa negeri terhadap individu, termasuk orang bukan Islam yang menghasut, memujuk, mempengaruhi atau memaksa orang Islam supaya meninggalkan agama Islam atau tidak suka kepada agama Islam.
“Selain itu, mana-mana orang Islam yang cuba untuk keluar dari agama Islam juga boleh diambil tindakan undang-undang mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah yang juga berkuatkuasa di beberapa negeri,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sebelum ini, tular satu video berdurasi tiga minit 26 saat memaparkan seorang lelaki berbangsa India mengaku memurtadkan wanita Islam menggunakan laman sosial Facebook.
Abdul Aziz berkata, pihaknya meminta seluruh umat Islam dapat mempertingkatkan kefahaman dan penghayatan Islam secara menyeluruh melalui pegangan akidah yang dibawa Nabi Muhammad SAW.
Semua pihak juga, katanya, diingatkan tidak saling menyalahi antara satu sama lain dalam isu membabitkan umat Islam, sebaliknya perlu bersama-sama memperkukuhkan institusi keluarga Islam, memupuk sikap saling ambil peduli dalam masyarakat serta ingat-mengingati dalam menghadapi sesuatu permasalahan, lapor BH Online.
“JAKIM bersama pihak berkuasa agama negeri seperti Jabatan dan Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti Negeri dan lain-lain sentiasa berusaha bagi memastikan akidah, syariah dan akhlak umat Islam sentiasa terpelihara selaras dengan prinsip Maqasid Syariah iaitu menjaga agama yang diberi penekanan oleh kerajaan pada masa ini,” katanya.