REMPUH SEKATAN JALAN RAYA
REMPUH SEKATAN JALAN RAYA
TASEK GELUGOR: Seorang lelaki yang berada di bawah pengaruh dadah ditahan kerana melanggar sekatan jalan raya (SJR) ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga hampir mencederakan anggota polis, di Jalan Kampung Selamat, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata dalam kejadian jam 11 pagi itu, anggota polis cuba menahan kereta Proton Saga dipandu seorang lelaki di SJR di situ kerana berada dalam keadaan mencurigakan namun pemandunya enggan berhenti dan terus memecut.
“Kereta itu dari arah Padang Serai, Kedah menghala Tasek Gelugor dan pemandunya yang sedang memecut telah memandu secara melulu, melanggar kon serta lampu di SJR sehingga pecah bagi mengelak ditahan polis, tindakan lelaki itu juga hampir melanggar anggota yang bertugas di situ.
“Anggota polis yang berada di SJR itu bertindak mengejar kereta itu kira-kira tiga kilometer sebelum berjaya menahan kenderaan dan pemandunya di Jalan Kubang Menerong, ketika mengejar, suspek memandu dalam keadaan berbahaya malah hampir melanggar pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan malam ini, lapor Bernama.
Katanya ujian air kencing pemandu berusia 21 tahun itu mendapati dia memandu di bawah pengaruh dadah serta positif methamphetamine.
Beliau berkata lelaki itu direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan turut dikompaun RM1,000 kerana merentas negeri tanpa surat kebenaran.