KOMEN RISIKO VAKSIN COVID-19, DOKTOR DIPANGGIL BERI KETERANGAN
KOMEN RISIKO VAKSIN COVID-19, DOKTOR DIPANGGIL BERI KETERANGAN
SEPANG: Seorang doktor di klinik kecantikan di ibu negara, Dr Roland Victor memberi keterangan dua jam 30 minit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang berhubung video komennya mengenai vaksin COVID-19 yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Roland yang sebelum itu dilihat tiba di IPD Sepang pada 2.30 petang tadi, menjelaskan beliau memberi kerjasama kepada polis sepanjang siasatan berkenaan.
Beliau yang juga pengasas klinik kecantikan itu berkata, setakat ini polis tidak memaklumkan sama ada beliau akan dipanggil semula untuk memberi keterangan atau sebaliknya, namun bersedia memberi kerjasama sekiranya dipanggil.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Menurutnya, siasatan polis berhubung video dimuatnaik di Facebook kliniknya pada 7 Februari lalu berkenaan perkongsian pandangannya mengenai vaksin COVID-19.
“Polis memaklumkan menerima satu aduan berkenaan video tular itu pada 11 Februari, namun tidak mendedahkan identiti pihak membuat laporan.
“Video 56 minit yang dikongsi dalam Facebook itu hanya menjelaskan risiko dihadapi pengguna dan bukannya untuk menakutkan-nakutkan mereka.
“Semalam polis menghubungi saya pada jam 1 tengah hari untuk hadir ke IPD Sepang bagi memberi keterangan berhubung video tular itu.
“Sebagai doktor perubatan saya hanya memberi pandangan mengenai pengambilan serta keberkesanan vaksin itu terhadap orang ramai,” katanya ketika ditemui di IPD Sepang.
GAMBAR HIASAN
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof yang dihubungi berkata, pihaknya mengesahkan pengusaha klinik itu hadir ke IPD Sepang bagi memberi keterangan.
Katanya, setakat ini satu laporan polis diterima berhubung kandungan video itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan,” katanya.
๐๐๐