BUNYI EKZOS KUAT MYVI DITEMBAK SENAPANG ANGIN
BUNYI EKZOS KUAT MYVI DITEMBAK SENAPANG ANGIN
ISKANDAR PUTERI : Seorang lelaki yang hilang sabar dengan tindakan penghuni sebuah rumah di sekitar kediamannya yang kerap menguji bunyi ekzos Perodua Myvinya hingga mengganggu jiran lain menembak kereta itu menggunakan senapang angin, jam 3.15 petang semalam.
Kejadian itu berlaku di Taman Ulu Choh, menghala ke jalan keluar di Jalan Senduduk di sini.
Ketua Polis Daerah Iskandar PuteriAsisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, ketika kejadian, mangsa yang berusia 21 tahun menyedari keretanya terkena sesuatu yang disyaki tembakan dari arah rumah lelaki terbabit, lapor HM online.
“Ia menyebabkan pintu belakang sebelah kanan berbekas umpama kesan tembakan.
“Pada jam 5.30 petang hari yang sama, anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri menyerbu rumah suspek berusia 63 tahun di taman perumahan berkenaan untuk melakukan pemeriksaan dan siasatan,” katanya pada kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati, suspek mempunyai rekod jenayah lampau.
“Hasil pemeriksaan, kami menemui selaras senapang tiruan pendek, selaras senapang tiruan panjang dan tiga guli yang disimpan di bawah almari di dapur rumah itu.
“Turut dirampas sehelai seluar pendek hitam sebagai bahan bukti,” katanya.
Menurut Dzulkhairi, kejadian berlaku disebabkan sikap mangsa yang sering menguji bunyi ekzosnya dengan kuat hingga mengganggu jiran tetangga.
Katanya, siasatan awal mendapati, senapang terbabit dihasilkan sendiri oleh suspek berdasarkan pembelajaran melalui YouTube.
“Bagaimanapun, ia masih dalam siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960,” katanya.
Gambar: Polis