USAHA CIKGU ISMAIL DAPAT PERHATIAN SULTAN PERAK
USAHA CIKGU ISMAIL DAPAT PERHATIAN SULTAN PERAK
IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah menzahirkan titah penghargaan terhadap seorang guru yang sanggup membersihkan Sungai Balun di Slim River, Tanjung Malim secara sukarela.
Sultan Nazrin bertitah usaha Ismail Mohd Zain, 40, seorang guru di Sekolah Kebangsaan FELDA Besout 1, Slim River membersihkan Sungai Balun daripada sampah terperangkap dapat menghindari kejadian banjir.
Selain itu, baginda bertitah usaha Ismail juga dapat memelihara habitat pelbagai spesis hidupan air untuk membiak seterusnya memberi rezeki kepada nelayan darat.
“Beta menzahirkan penghargaan atas sifat amat terpuji yang telah saudara Beta pamerkan,” titah Sultan Nazrin menerusi satu warkah penghargaan.
Baginda bertitah sebagai guru, Ismail menunjukkan teladan kepimpinan yang baik kepada profesion keguruan dan sewajarnya sikap beliau dicontohi oleh warga pendidik serta pelajar di negara ini.
“Semoga Allah menerima usaha murni ini yang dilakukan sebagai amal makruf yang dilimpahi dengan ganjaran dunia dan akhirat,” titah Sultan Nazrin.
Pada 14 Februari, sebuah akhbar tempatan menyiarkan kisah Ismail yang sanggup bergelumang lumpur, selut dan lintah seorang diri demi membersihkan sampah yang terperangkap dalam Sungai Balun.
Sementara itu, Ismail ketika dihubungi Bernama meluahkan rasa teruja dan terharu apabila menerima titah penghargaan daripada Sultan Nazrin.
“Saya tidak tahu hendak gambarkan (perasaan) sebab perkara yang saya buat (membersihkan sungai) kecil sahaja tetapi mendapat perhatian daripada pelbagai pihak termasuk media yang menyiarkan berita.
“Saya menerima panggilan daripada pihak istana hari ini memberitahu surat penghargaan daripada Sultan Perak diposkan ke sekolah semalam,” kata bapa kepada dua anak itu.
Ismail berkata, Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man menerusi hantaran di Facebook semalam turut menzahirkan ucapan penghargaan atas usahanya membersihkan sungai berkenaan.
Beliau yang berasal dari FELDA Trolak, Tanjung Malim berkata aktiviti membersihkan Sungai Balun terletak kira-kira 30 meter dari kediamannya dilakukan sejak tahun lepas kerana tidak gemar melihat keadaan sungai dipenuhi sampah sarap dan kotor.
“Apa yang saya lakukan ini hanyalah sumbangan kecil saya dalam memelihara alam sekitar, ia tidak memerlukan modal dan tidak mengambil masa begitu lama untuk melakukannya,” katanya.