KAJIAN LEMBANGAN SUNGAI SEDANG DILAKUKAN
KAJIAN LEMBANGAN SUNGAI SEDANG DILAKUKAN
JERANTUT: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sedang melakukan kajian lembangan banjir seluruh negara dan bakal diselesaikan tidak lama lagi bagi mengatasi implikasi banjir dan kaedah penyelesaian secara menyeluruh dengan menitik beratkan prosedur operasi standard (SOP) alam sekitar.
Menterinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, apabila kajian itu siap sepenuhnya, semua pembangunan di seluruh negara perlu mematuhi prosedur yang ditetapkan bagi mengatasi berlakunya banjir atau banjir berulang.
“Kajian lembangan sungai utama di seluruh negara yang sering berlaku banjir sudah dilakukan dan hanya menunggu beberapa negeri yang sedang melakukan kajian dan belum menghantar laporan kajian masing-masing.
“Kita akan melakukan secara menyeluruh dan pemantuhan perlu diikuti dan diharapkan akan diselesaikan pada tahun ini (2021),” katanya kepada media semasa melakukan lawatan tebing parit besar runtuh di Taman Wira, dekat sini, hari ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris, ADUN Damak, Zuridan Mohd Daud, ADUN Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin dan Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris.
Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata kajian menyeluruh turut dilakukan di daerah Jerantut kerana kekerapan berlaku banjir di daerah ini mendatangkan kesulitan dan kerugian kepada rakyat.
“Ekoran kejadian tebing parit besar yang mula runtuh sejak musim tengkujuh bulan Disember lalu, kini bertambah buruk sejak seminggu ini dan semakin kritikal perlu ditangani segera.
“Kerajaan negeri sudah memperuntukan sebanyak RM250,000 untuk membendung segera keadaan kritikal yang sedang berlaku agar dapat diatasi agar tidak berulang.
Katanya, selain itu peruntukan RM1.5 juta turut akan dikeluarkan berdasarkan laporan Jabatan Parit dan Saliran (JPS) bagi menyelesaikan masalah di sepanjang parit besar itu dan dijangka diselesaikan pada tahun ini.
Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, berterima kasih kepada menteri (KASA) kerana memberi respon yang cepat bagi mengatasi kebimbangan penduduk di taman itu.
“Kita bimbang sejak beberapa hari kebelakangan ini kerap berlaku hujan lebat dan kalau lambat diatasi masalah tebing parit runtuh ini, boleh memberi impilkasi yang buruk,” katanya.
https://sahih.com.my/tebing-parit-runtuh-risaukan-penduduk-taman-wira/