TOPENG PLASTIK DUNIA GLAMER
TOPENG PLASTIK DUNIA GLAMER
MINGGU ini, dua perkara merenjat perhatian gelanggang industri seni tanah air.
Pertama, isteri kepada penyanyi rap, Aman Ra iaitu Natiqah membuat pendedahan suaminya berlaku curang.
Kedua, dua anak seni, Farid Kamil dan Boy Iman antara lima individu yang ditarik balik gelaran Datuk daripada Istana Pahang.
GAMBAR HIASAN
Semua itu mendapat perhatian meluas khalayak.
Secara peribadi, selain dunia politik yang hidup seperti di bawah mikroskop netizen, golongan selebriti juga tidak terlepas daripada nasib yang sama.
Adakala, bekerja dan hidup dalam nuansa sedemikian seumpama rakyat atau netizen adalah majikan yang menumbuhkan gaji kita semua.
Peribadi-kualiti kerja
Berbalik tentang dua isu hangat membabitkan dua situasi berbeza itu, boleh disimpulkan dengan frasa popular orang putih, walk the talk.
Rata-rata peminat termasuklah penulis merupakan antara penggemar muzik Aman Ra yang sentiasa menghidangkan perihal positif menerusi muzik, antaranya berkaitan kebangkitan hidup, motivasi dan kasih sayang.
Biarpun dengan apa yang berlaku, tidak menghilangkan walau seinci rasa kagum penulis terhadap diskografi atau hal kerjaya Aman Ra atau nama lengkapnya, Aman Jamaluddin yang berprofesi sebagai penyanyi rap.
GAMBAR HIASAN
Pendedahan mengejutkan Natiqah dilakukan menerusi InstaStorynya dengan mengatakan rumah tangga mereka berantakan selepas dia mengetahui hubungan sulit si suami.
Bahkan, dia juga sudah menghalau suaminya dari rumah kerana tidak tahan dengan penipuan selama ini.
“Dalam kereta siap ada beg pakaian lengkap dengan seluar dalam kau dan berus gigi.
“Kau tak bawa masuk rumah sebab sebelum itu tinggalkan anak bini berminggu-minggu semasa perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebab nak jaga b**i kau di The Fennel,” tulisnya membongkar pekung di dada.
Itu antara kata-kata amarah seorang wanita yang ditinggalkan suaminya seperti dirinya tidak mempunyai hak untuk bersuara selama ini.
Hal ini kerana, dia turut mengatakan suaminya itu telah empat kali melafazkan cerai terhadapnya sebelum ini.
“Hendak cakap aku jangan jadi isteri kurang ajar. Kau sudah lafaz cerai empat kali semua sebab sun**l kau.
“Sebab aku diam selama ni. Makin lama makin teruk. Bila aku bersuara, aku yang salah. Kau buat aku macam musuh,” luahnya lagi.
Apa yang berlaku kepada Nuratiqah sebenarnya hampir serupa dengan pendedahan isteri pelawak Shuk Shahar yang kini sudah kembali berbaik dengan suaminya.
Kemarahan sememangnya mudah dicanang namun penyelesaian tidak seperti sebagai yang disumpah seranah netizen, si penyokong, batu api atau peguam tidak bertauliah selama ini.
Reaksi berbeza
Beralih kes penarikan gelaran Datuk membabitkan Farid dan Boy Iman, penulis sendiri berkesempatan berhubung dengan kedua-dua selebriti itu sewaktu berita berkenaan meletus Rabu lalu.
GAMBAR HIASAN
Farid dengan hati terbuka menerima penarikan tersebut sementara, Boy Iman yang terkenal dengan pelbagai kes mulanya masih mahu bermain tarik-tali.
“Saya juga dengan penuh rasa hormat menerima keputusan pihak Istana Pahang menarik balik gelaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk kepada saya.
“Sejak 16 Disember 2017 saya amat berbangga dan berbesar hati membawa gelaran Datuk yang dikurniakan Istana Pahang,” ujar pelakon filem Lagenda Budak Setan itu.
Lain pula respons Boy Iman ketika mula dihubungi Pose yang seperti tidak dapat menerima kenyataan tersebut.
“Saya sedikit ralat kerana apa yang dilakukan tidak melambang protokol sedangkan saya tidak menerima surat rasmi daripada pihak istana sampai hari ini (Rabu),” kata Boy.
Namun, tidak lama kemudian Boy menerusi Instagramnya menjunjung kasih dan akur dengan titah daripada istana.
Pada akhirnya, setiap selebriti mempunyai pengaruh besar dalam setiap perbuatan, baik atau buruk.
Cuma sebagai peringatan, untuk selebriti atau insan terdekat mereka berhentilah menjadikan seni seperti longkang untuk menutupi perkara yang apabila terbongkar, akan diingati sampai bila-bila.
artikel asal boleh dibaca di laman portal KOSMO! Online