BERANI LANGGAR KERETA POLIS
BERANI LANGGAR KERETA POLIS
BAU: Penganggur ditahan selepas bertindak agresif ketika cuba diperiksa polis di Kampung Grogo, semalam.
Suspek, 24, dilaporkan enggan memberikan kerjasama sebaliknya bertindak memecut laju kenderaannya untuk melepaskan diri dan cuba melanggar anggota serbuan di lokasi kejadian.
Serbuan dijalankan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Bau sekitar jam 10.45 malam itu bagi mengesan sebuah kenderaan yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, suspek dilaporkan enggan memberikan kerjasama dengan bersembunyi di dalam kenderaan terbabit biarpun diminta pasukan operasi untuk diperiksa lanjut.
GAMBAR IHSAN SARAWAKUPDATE NEWS
Menurutnya, suspek kemudiannya secara tiba-tiba bertindak agresif dengan memecut laju kenderaanya untuk melanggar pasukan operasi, menyebabkan kenderaannya tersangkut akibat ternaik ke atas kereta pasukan dari bahagian kiri.
“Suspek akhirnya berjaya ditahan dengan menggunakan kekerasan minima dimana dia mengalami kecederaan di bahagian pipi dan bahu masing-masing di sebelah kanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Sarawakupdate News.
Katanya, hasil pemeriksaan awal terhadap suspek bagaimanapun tidak menjumpai apa-apa barang salah dan suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.