MAYAT LELAKI REPUT DITEMUI DALAM KEBUN
MAYAT LELAKI REPUT DITEMUI DALAM KEBUN
TAIPING: Mayat lelaki yang sudah reput dipercayai meninggal lebih sebulan lalu ditemui di kawasan kebun di Kampung Air Kuning, Changkat Jering di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, mayat lengkap berpakaian itu ditemui seorang lelaki yang juga pemilik kebun selepas menghidu bau busuk di kawasan kebunnya pada pukul 8.45 pagi sebelum melaporkan kejadian tersebut kepada polis.
GAMBAR IHSAN PDRM
“Berdasarkan pemeriksaan, mangsa berkenaan dipercayai telah meninggal dunia lebih sebulan yang lalu.
“Mangsa merupakan penduduk kampung sekitar yang pernah bekerja sebagai anggota tentera dan sering mengambil upah kerja-kerja meracun kebun durian penduduk,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di sini hari ini, lapor KOSMO! Online.
GAMBAR IHSAN PDRM
Tambah Osman, mayat lelaki berkenaan dibawa ke Hospital Taiping untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut,” katanya.