SUAMI ISTERI DITAHAN BERSAMA DADAH
SUAMI ISTERI DITAHAN BERSAMA DADAH
SIK : Lelaki dan isterinya yang mengandung enam bulan bukan sekadar positif dadah, malah mereka ditahan bersama sejumlah barang larangan itu ketika sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Jeniang-Sik dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, wanita berusia 24 tahun dan suaminya, 37, yang dipercayai pengedar dadah ditahan ketika menaiki kereta jenis BMW kira-kira 1 tengah hari.
“Anggota bertugas pada mulanya meminta lesen memandu lelaki itu dan mendapati ia palsu, termasuklah pemeriksaan terhadap cukai jalan kenderaan dipandu.
“Pemeriksaan lanjut kemudian dilakukan sebelum menemui sepaket plastik berisi syabu seberat 51 gram dan plastik berisi tujuh pil disyaki yaba seberat satu gram di dalam beg silang suspek lelaki.
GAMBAR IHSAN PDRM
“Selain itu terdapat satu paket plastik berisi dadah disyaki syabu seberat satu gram di tempat letak minuman bahagian tengah kereta. Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggar RM5,200,” katanya dalam satu kenyataan media.
Dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM5,200.
Abdull Razak berkata, ujian saringan air kencing kedua-duanya mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan pasangan itu mengaku dalam perjalanan pulang ke rumah di Perlis dari rumah keluarga di Kuala Terengganu, dipetik dari Harian Metro.
“Bagaimanapun ketika dalam perjalanan, suspek lelaki mengaku dia singgah untuk mendapatkan bekalan dadah di Rantau Panjang, Kelantan, selain baru keluar penjara pada 2018 dan pernah dikenakan hukuman sebat kerana kesalahan mengedar dadah,” katanya yang memberitahu suspek itu juga mempunyai lima rekod jenayah lampau.
Katanya, pasangan itu ditahan reman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, selain kes turut disiasat mengikut Seksyen 108 (3) (e) dan 108 (3)(g) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menggunakan lesen dan cukai perjalanan palsu.