PASUKAN PENGAMAN PBB DISERANG
PASUKAN PENGAMAN PBB DISERANG
BAMAKO: Kira-kira 20 anggota pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) cedera dalam serangan di markas mereka di tengah Mali.
Menurut jurucakap misi PBB, Olivier Salgado, militan yang tidak dikenali menyerang markas sementara berdekatan Kerena, sebuah kampung di tengah negeri Sahel yang dilanda perang.
Markas yang diwujudkan pada 2013 itu menempatkan 13,000 anggota Misi Penstabilan Bersepadu Pelbagai Dimensi di Mali (MINUSMA), yang juga pasukan pengaman paling berbahaya di bawah naungan PBB, lapor AFP.
GAMBAR IHSAN AFP
Lebih 230 anggotanya maut sejak misi itu dimulakan termasuk lima yang menemui ajal akibat letupan objek peranti letupan (IED) bulan lalu.
Anggota tentera yang cedera dalam serangan terbaru itu termasuk beberapa yang parah, adalah dari kontingen pasukan pengaman Togo, menurut seorang pegawai yang enggan dikenali.
Mali bergelut dengan serangan militan sejak 2012 di utara negara itu dan kini merebak ke wilayah tengah dan negara berjiran, Burkina Faso serta Niger.
Ribuan anggota tentera dan orang awam terbunuh manakala ratusan ribu terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing akibat perang.
Konflik serantau membabitkan pembunuhan etnik dan serangan terhadap anggota tentera menjadi perkara biasa di tengah Mali termasuk kawasan di mana serangan terbaru berlaku hari ini.
Minggu lalu, 10 anggota tentera Mali terbunuh di wilayah sama apabila kem mereka diserang kumpulan militan al-Qaeda.