PASANGAN SUAMI ISTERI BERDEPAN HUKUMAN GANTUNG
PASANGAN SUAMI ISTERI BERDEPAN HUKUMAN GANTUNG
MELAKA – Ibu kandung dan bapa tiri kanak-kanak berusia tujuh tahun yang maut dipercayai didera berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu atas pertuduhan membunuh anaknya, pada 29 Januari lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh, Zuraida Atan, 32, dan suaminya, Mohd Fadzli Abdull Razak, 38, sejurus pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret, Mazana Sinin.
Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama-sama didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Zubaidi Amir Qusyairi Abdul Malik, 7, di sebuah rumah di Taman Krubong Jaya di sini, jam 3.32 petang, pada 29 Januari lalu, lapor Sinar Harian.
GAMBAR IHSAN SINAR HARIAN
Kedua-dua mereka dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama dan boleh dikenakan hukaman mati mandatori, jika disabit kesalahan.
Sementara itu, pasangan suami isteri itu turut didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan dengan cara mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau membenarkannya dianiayai, diabaikan atau didedahkan sedemikian.
Mereka didakwa melakukan kesalahan di alamat yang sama antara jam 10. 30 malam pada 13 Oktober 2019 hingga 3.32 petang pada 29 Januari 2021 di lokasi sama.
Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibaca secara berasingan di hadapan Hakim, Nariman Badruddin.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kesalahan Kanak-kanak 2001.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan sebutan semula bagi kedua-dua kes itu pada 29 Mac depan.
Prosiding bagi kedua-dua kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Pengarah Pendakwaan Negeri, Badius Zaman Ahmad.
Zuraida diwakili empat peguam, Zamri Idrus, Ishak Mohd Kari, Yusman Che Man dan Saifuzzaman Ab Rahman sementara Mohd Fadzli diwakili peguam Datuk Ahmad Musthafi Mohamar dan Muhammad Firdaus Abd Razak.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun meninggal dunia selepas dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya, pada 29 Januari lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, kanak-kanak malang itu didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya dengan terdapat beberapa kesan kecederaan di beberapa bahagian badan.
Hasil siasatan dan pemeriksaan pada tubuh badan mangsa bagaimanapun menemukan kesan kecederaan dipercayai akibat didera.
Kisah kanak-kanak malang itu sebelum ini pernah tular di laman sosial Facebook pada Oktober tahun lalu apabila ibu angkat yang menjaganya sejak berusia dua bulan terpaksa menyerahkan semula mangsa kepada ibu kandungnya.