MAUT DITIKAM ABANG IPAR
MAUT DITIKAM ABANG IPAR
KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki maut akibat ditikam selepas berlaku pergelutan dengan abang iparnya di Taman Pinggiran Batu Caves, Selangor, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 7.45 malam itu, mangsa dikatakan ditikam selepas bertengkar dengan abang iparnya berhubung isu dalaman rumah tangganya.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata susulan dari itu berlaku pertengkaran mulut, provokasi dan pergelutan di antara suspek dan mangsa.
“Dalam kejadian ini mangsa tidak berpuas hati kerana suspek mengeluarkan perkataan tidak baik kepada emaknya sehingga berlaku pergelutan.
“Suspek mengalami kecederaan di bahagian bawah dada manakala mangsa mengalami kecederaan akibat tikaman di bawah dada.
“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Selayang dan disahkan meninggal dunia pada jam 9 malam oleh doktor bertugas,” katanya dalam satu kenyataan, lapor BH Online.
Arifai berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati motif kejadian ini disyaki kerana mangsa mencampuri urusan dan masalah rumah tangga suspek dan isterinya.
GAMBAR IHSAN BH ONLINE
“Polis menemui dan merampas sebilah pisau lipat berukuran 17 sentimeter di lokasi dipercayai digunakan dalam pergelutan antara suspek dan mangsa.
“Susulan itu polis memberkas empat lelaki dan lima wanita berusia antara 25 hingga 72 tahun disyaki terbabit dalam kejadian berkenaan,” katanya.
Kesemua mereka sedang ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.