BUNGKUSAN POS DISARUNG SELUAR DALAM
BUNGKUSAN POS DISARUNG SELUAR DALAM
MELAKA: Semalam tular isu seorang wanita di Melaka menerima alat tulis yang dipesannya dalam talian disarung dengan seluar dalam.
Ia mencuri perhatian orang ramai kerana kebetulan dikongsi selepas tular video cara pengendalian barangan melibatkan syarikat penghantaran popular J&T Express Malaysia.
Bagaimanapun, sehingga ke hari ini, masih belum jelas bagaimana perkara itu boleh berlaku.
Pembeli Ayunormaslinda Abu Hassan ketika dihubungi Malaysiakini mempertahankan bahawa dakwaannya itu sahih dan bukan direka-reka.
Penghantar dan penjualnya juga menafikan membuat kerja nakal itu.
Ayunormaslinda semalam berkongsi gambar pesanannya – empat bekas pensil kanak- kanak – yang dibungkus dalam kotak tetapi bersarung seluar dalam wanita berwarna merah jambu.
“Hari ini barang yang suami order (pesan) sampai dengan kotak dibalutkan menggunakan seluar dalam ini.
“Sangat melampau,” tulisnya di Facebook yang mahu pihak J&T menyelesaikan perkara itu.
Wanita 32 tahun itu yang lebih mesra dengan panggilan Ayu juga menjelaskan di Facebook Live bahawa pekerja J&T yang menghantar bungkusan tersebut juga tidak tahu apa yang berlaku.
Ketika dihubungi, Ayu bagaimanapun berkata pihak J&T Melaka sudah menghubunginya untuk menyelesaikan isu tersebut.
“Saya dah buat aduan tersebut di J&T dan mereka ada memohon maaf kepada saya dan berharap mereka dapat naikkan memo minta maaf atas perkara ini kerana menyebabkan kekejaman kepada saya dan juga bisnes saya.
“Selama lima tahun saya sebagai seller (penjual) memang menggunakan J&T ini, tapi bila terjadi begini saya anggap tidak wajar berlaku pada saya,” katanya yang juga seorang usahawan.
Ayu melalui laman media sosial Facebook, Mamaayu Admia Ayunormaslinda berkata dia telah merujuk dengan penjual yang menafikan perkara itu dilakukan mereka.
“Ya, saya dah tanyakan seller, mereka telah memberitahu mereka hantar dalam keadaan baik,” katanya.
Bagaimanapun, perkongsian Ayu itu menyebabkan dia ditimpa masalah baru kerana ada warga maya tampil mendakwa dia sengaja mereka-reka cerita, menyebabkan dia tampil membuat laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah, petang semalam.
“Anda semua telah buat ancaman yang tidak wajar sama sekali. Saya rasa kalau ia berlaku kepada awak, semua akan buat perkara yang sama saya buat.
“Mana mungkin barang yang kita dapat dalam keadaan macam itu kita tak marah?” soalnya.
Sementara itu, peniaga alat tulis itu yang enggan namanya didedahkan memberitahu Malaysiakini bahawa tidak masuk akal perkara tersebut dilakukan pihaknya.
“Kami hantar dari Ipoh, Perak. Kalau hantar bungkusan seperti itu, anda rasa J&T mahu terima? Bungkusan itu akan dihantar melalui banyak pusat pengagihan sebelum sampai kepada penerima.
“Kami terkejut dan sedih kerana ada yang tuduh kami yang bertanggungjawab. Apa yang penting sekarang ini, dapatkan orang yang cipta masalah ini,” katanya.