LELAKI LEMAS LARI DARIPADA POLIS
LELAKI LEMAS LARI DARIPADA POLIS
KOTA TINGGI : Lelaki lari daripada polis dengan terjun ke dalam Sungai Johor dekat Semanggar di sini, ditemukan mati lemas jam 6 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, mayat lelaki berusia 30 tahun itu ditemukan tersangkut pada sebatang kayu di dalam sungai itu oleh pasukan penyelam bomba kira-kira 50 meter dari lokasi suspek terjun, lapor Harian Metro.
Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku ketika pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi melihat sebuah lori Isuzu melanggar kenderaan orang awam di Jalan Kota Tinggi-Johor Bahru di sini tengah hari tadi.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
“Anggota terbabit kemudiannya mengejar lori berkenaan sebelum ia berhenti berdekatan jambatan Semanggar, Sungai Johor.
“Dua lelaki dilihat keluar dari lori berkenaan dan terjun ke dalam sungai. Seorang daripadanya lemas akibat dibawa arus deras dan seorang lagi melarikan diri selepas berenang ke tebing sungai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Hussin, mayat dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
“Semakan ke atas lori itu mendapati ia dilaporkan hilang di Kepong, Kuala Lumpur dan usaha mengesan lelaki yang melarikan diri itu dijalankan di sekitar lokasi kejadian,” katanya kedua-dua lelaki terbabit adalah warga tempatan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Azman Jantan berkata, mayat ditemukan pada kedalaman lapan meter di dasar sungai.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Terdahulu katanya, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.24 tengah hari memaklumkan dua lelaki terjun ke sungai selepas lori yang dinaiki mereka dikejar polis.
Katanya, seramai 12 anggota dari BBP Kota Tinggi dibantu empat anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Tebrau terbabit dalam operasi itu.