ENAM EKOR GAJAH DITANGKAP
ENAM EKOR GAJAH DITANGKAP
HAIWAN ITU MUSNAHKAN TANAMAN, ANCAM KESELAMATAN PENDUDUK
JERANTUT: Enam ekor gajah dapat ditangkap di Kampung Ulu Retang yang telah memusnahkan tanaman dan ketenteraman 1,200 penduduk kampung di kawasan itu sejak seminggu lalu, semalam.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menggunakan dua ekor gajah denak yang dibawa khas dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang.
Gajah liar yang ditangkap itu telah mengganggu ketenteraman dan keselamatan penduduk di situ akan dihantar ke Taman Negara Kenyir untuk dilepaskan tidak lama lagi.
Pengerusi Biro Sosial FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud yang berada di lokasi tangkapan berkata kemungkinan enam ekor gajah itu tersesat dari kawasan habitatnya di samping mungkin keluar mencari makanan.
“Tanaman orang kampung habis musnah sejak seminggu lalu selain turut mengancam keselamatan penduduk setempat yang bimbang untuk ke kebun masing-masing,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah turut bersama pihak PERHILITAN untuk melihat kerja menangkap gajah tersebut.