PEMAJU DIARAH BAIKI KEDIAMAN ROSAK
PEMAJU DIARAH BAIKI KEDIAMAN ROSAK
KUANTAN: Pemaju kawasan perumahan di Taman Gambang Damai, dekat sini, diarahkan untuk membaiki enam kediaman yang rosak akibat kejadian tanah runtuh, awal Januari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Datuk Abd Rahim Muda berkata, pemaju juga diminta membaiki kerosakan cerun yang runtuh dengan pemantauan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).
GAMBAR IHSAN PEJABAT ADUN LEPAR
Katanya, keputusan mesyuarat antara Kerajaan Negeri yang diwakili beliau dengan MPK, Pejabat Tanah Pahang, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Pahang, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama pemaju, Sentoria Alpa Sdn Bhd pada 29 Januari lalu, juga bersetuju supaya pemaju membaiki beberapa infrastruktur lain di taman perumahan itu.
“Anataranya membaiki keretakan longkang dan rumah, membaiki tembok jalan masuk ke tangki air PAIP (Pengurusan Air Pahang Bhd) dan membuat laluan air keluar dari kolam yang terdapat di atas bukit.
“Selain itu, sistem bekalan air bypass akan dibaiki pihak PAIP,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah malam, 5 Januari lalu, dua unit rumah berkembar di Lorong 29, Taman Gambang Damai, dilaporkan musnah, apabila runtuh dipercayai berlaku disebabkan pergerakan tanah di cerun bukit.
Empat rumah dikenal pasti sangat berisiko selepas terdapat kerosakan pada struktur binaan rumah selain kesan pergerakan tanah yang serius.
Difahamkan, hanya 11 rumah termasuk satu yang roboh, berpenghuni manakala selebihnya dijadikan rumah tamu dan kosong ketika kejadian.