PUNB SUMBANG RM100 RIBU UNTUK PAHANG
PUNB SUMBANG RM100 RIBU UNTUK PAHANG
BENTONG : Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) menghulurkan sumbangan sebanyak 100 ribu ringgit kepada Tabung Bencana Banjir Negeri Pahang, hari ini.
Sumbangan tersebut bagi meringankan beban yang ditanggung kerajaan negeri Pahang dalam membantu 47, 562 penduduk yang terjejas banjir, baru-baru ini.
GAMBAR IHSAN PUNB
Pengerusi PUNB, Tan Sri Noh Omar berkata, sumbangan tersebut sebagai tanda prihatin badan itu kepada penduduk yang terjejas banjir sehingga ada sebahagian daripada mereka musnah harta benda.
Katanya, sumbangan itu bermula di Pahang dan akan melihat keperluan bagi negeri-negeri lain yang terjejas banjir.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang yang sudi menerima kunjungan kami (PUNB) dan ini adalah sumbangan ikhlas dari PUNB untuk meringankan bebanan ditanggung mangsa banjir.
“PUNB juga sedia membantu jika ada antara mangsa banjir yang memerlukan bantuan (kewangan) lain yang bersesuaian bagi tujuan pembangunan usahawan dalam kalangan Bumiputera sejajar dengan objektif utama penubuhan PUNB,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas penyerahan cek sumbangan banjir kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Bentong, Pahang.
Wan Rosdy mengalu-alukan pihak yang ingin memberikan bantuan dan sumbangan banjir kepada penduduk terjejas di negeri itu.