ROY GEGAR VAGANZA POSITIF COVID-19
ROY GEGAR VAGANZA POSITIF COVID-19
KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal tanah air, Roy memaklumkan ujian saringan COVID-19 ke atas dirinya mendapati dia positif pandemik berkenaan.
Menurut penyanyi yang sangat popular dengan lagu Ratnaku itu, ujian tersebut juga mendapati dia berada di tahap keempat penyakit berkenaan dan sudah dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Mengesahkan perkara itu kepada portal Harian Metro, Roy atau nama sebenarnya, Mohammad Rauzan Alwi berkata, dia secara peribadi tidak tahu bagaimana boleh dijangkiti pandemik berkenaan.
Roy yang berusia 57 tahun berkata, dia reda menerima ujian itu selain berserah kepada Allah.
GAMBAR IHSAN HARIAN METRO
“Apa lagi yang boleh dibuat, selain saya kena reda dan tawakal pada Allah.
“Ahli keluarga saya juga kini menjalani kuarantin di rumah sekarang, manakala restoran keluarga kami di Banting ditutup sementara,” katanya.
Roy yang terkenal menerusi lagu-lagu patriotik sebelum itu dilaporkan dimasukkan ke Hospital Banting pada tengah malam Sabtu akibat sesak nafas.
Hasil pemeriksaan doktor ke atas bekas peserta program Gegar Vaganza musim keenam itu mendapati terdapat jangkitan kuman pada paru-parunya.