PM PAKISTAN KECAM CHARLIE HEBDO
Berita Global
PM PAKISTAN KECAM CHARLIE HEBDO
NEW YORK: Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan mengecam penerbitan kartun Nabi Muhammad SAW oleh akhbar mingguan satira Perancis dan mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menentang apa yang disifatkan sebagai peningkatan terhadap Islamofobia.
Ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang dirakam, Imran berkata tindakan kumpulan nasionalisme global menonjolkan Islamofobia di mana umat Islam terus menjadi sasaran di banyak negara.
“Kejadian di Eropah termasuk penerbitan semula lakaran bersifat mencerca oleh Charlie Hebdo baru-baru ini adalah contoh.
“Kami menekankan bahawa provokasi dan hasrat untuk membenci serta keganasan yang disengajakan harus dilarang secara universal.
“Perhimpunan ini harus mengisytiharkan hari antarabangsa untuk memerangi Islamofobia dan membina gabungan untuk menentang golongan ini,” katanya.
Charlie Hebdo, yang terkenal dengan kartun satira tidak bersopan dan kepercayaan mutlak terhadap kebebasan bersuara, berulang kali menimbulkan kemarahan dunia Islam dengan menerbitkan kartun Nabi Muhammad SAW.
Seramai 12 orang terbunuh dalam serangan oleh lelaki bersenjata beragama Islam di pejabat Charlie Hebdo di Paris pada 7 Januari 2015.
Sumber: AFP