MPV DIREMPUH PEMANDU WANITA
MPV DIREMPUH PEMANDU WANITA
SEBERANG PERAI: Tiga termasuk dua anggota polis cedera selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di simpang tiga berhampiran jejambat Jalan Nangka, Bukit Mertajam di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, kejadian kira-kira pukul 4.20 petang itu berlaku ketika dua anggota polis tersebut yang menaiki kereta peronda polis (MPV) jenis Honda Civic dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPT di sini dari arah Sungai Rambai.
Menurutnya, MPV itu secara tiba-tiba dirempuh oleh sebuah kereta jenis Proton Waja yang dipandu seorang wanita yang datang dari sebelah kanan jalan.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
“Akibatnya, pemandu MPV tersebut luka pada kening dan dahi manakala seorang lagi anggota mengalami bengkak pada kepala.
“Pemandu Proton Waja terbabit yang berusia 44 tahun dan tidak bekerja itu pula mengalami kesakitan pada dada,” katanya kepada KOSMO! Online , hari ini.
Shafee berkata, kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Bukit Mertajam di sini untuk rawatan lanjut.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan.