BIDEN KAJI SEMULA PERJANJIAN US-TALIBAN
BIDEN KAJI SEMULA PERJANJIAN US-TALIBAN
WASHINGTON: Pentadbiran Biden hari ini mahu mengkaji semula perjanjian penting Amerika Syarikat (AS ) dengan Taliban, menumpukan usaha mengurangkan serangan di Afghanistan seperti dicapai dalam perjanjian sebelum ini.
Washington membuat perjanjian dengan Taliban di Qatar tahun lalu, dimulai dengan menarik balik tenteranya untuk mendapatkan jaminan keselamatan dari militan dan komitmen untuk memulakan rundingan damai dengan pemerintah Afghanistan.
Namun, keganasan di Afghanistan meningkat walaupun kedua-dua pihak terbabit dalam rundingan itu sejak September.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara, Emily Horne, berkata Penasihat Keselamatan Nasional Presiden Joe Biden yang baru dilantik, Jake Sullivan, bercakap dengan rakan sejawatnya dari Afghanistan, Hamdullah Mohib dan ‘menjelaskan niat AS untuk mengkaji semula’ perjanjian itu, lapor AFP.
“Secara khusus, Washington ingin mengkaji semula perjanjian dengan Taliban sama ada sudah ‘menepati komitmennya’ untuk memutuskan hubungan dengan kumpulan pengganas, bagi mengurangkan keganasan di Afghanistan, dan untuk terbabit dalam rundingan yang bermakna dengan pemerintah Afghanistan dan pihak berkepentingan lainnya,” menurutnya.
Sullivan turut menekankan bahawa AS akan mendukung proses perdamaian dengan usaha diplomatik yang kuat dan serantau, yang akan bertujuan untuk membantu kedua-dua pihak mencapai penyelesaian politik dan gencatan senjata kekal yang tahan lama dan adil.
“Sullivan juga membincangkan sokongan AS untuk melindungi kemajuan terkini mengenai hak wanita dan kumpulan minoriti sebagai sebahagian daripada proses perdamaian.
“Kenyataan itu disambut baik pegawai di Kabul selepas berbulan-bulan spekulasi mengenai bagaimana pentadbiran baru berpotensi menyusun semula dasarnya mengenai Afghanistan,” kata Horne.
Mohib yang juga Penasihat Keselamatan Nasional Afghanistan, dalam ciapannya berkata, pada perbincangan menerusi panggilan telefon itu kedua-dua pihak ‘bersetuju untuk berusaha mencapai gencatan senjata kekal dan perdamaian yang adil dan tahan lama’ di negara itu.
Seorang pegawai tertinggi pemerintah Afghanistan mengecam kegagalan Taliban untuk memenuhi perjanjian Februari 2020, dengan menyatakan bahawa perjanjian itu gagal mencapai tujuan yang dinyatakan.
“Perjanjian sejauh ini, tidak mencapai tujuan yang diinginkan untuk mengakhiri keganasan Taliban dan membawa gencatan senjata yang diinginkan oleh rakyat Afghanistan,” kata Wakil Menteri Dalam Negeri, Sediq Sediqqi yang juga bekas jurucakap Presiden Ashraf Ghani di Twitter.
“Taliban tidak menepati komitmennya,” katanya.
Serangan pembunuhan berprofil tinggi telah meningkat dalam beberapa bulan terakhir ini terutama di Kabul yang mana beberapa wartawan, aktivis, hakim dan ahli politik telah dibunuh dalam serangan terbuka di siang hari.
Taliban telah menafikan bertanggungjawab dalam pembunuhan itu, tetapi pegawai Afghanistan dan AS telah menyalahkan kumpulan itu.
Selasa lalu, calon Biden untuk setiausaha negara, Antony Blinken, memberitahu Senatnya bahawa ‘kami ingin menamatkan perang yang selama-lamanya disebut ini’.