PUISI AMANDA GORMAN UNTUK PRESIDEN US
PUISI AMANDA GORMAN UNTUK PRESIDEN US
WASHINGTON: Amanda Gorman, pemuisi muda kulit hitam yang membuat persembahan ketika pelantikan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, popular semalam dan karyanya melonjak ke tangga tertinggi senarai jualan terlaris Amazon.
Pada majlis berkenaan, wanita berusia 22 tahun itu mendeklamasi The Hill We Climb, puisi yang diinspirasikan daripada insiden serangan Capitol AS dan menyentuh mengenai bagaimana demokrasi tidak akan kekal tewas.
GAMBAR HIASAN
Gorman pemuisi paling muda mendeklamasikan puisi ketika pelantikan Presiden AS, peranan yang pertama kali diberikan kepada Robert Frost oleh John F Kennedy pada 1961.
Graduan Universiti Harvard itu dijemput oleh Wanita Pertama AS, Jill Biden untuk menyertai majlis berkenaan, selepas melihatnya mendeklamasi puisi.
Koleksi puisi Gorman yang bakal diterbitkan September depan, berada pada kedudukan pertama dalam senarai jualan terlaris Amazon pada Jumaat, disusuli buku kanak- kanak Change Sings: A Children’s Anthem, yang juga akan diterbitkan pada September.
Salinan kulit keras puisi yang dideklamasi pada pelantikan Biden yang akan diterbitkan bulan depan, pula berada pada kedudukan ketiga.
Karya Gorman mengetepi autobiografi bekas Presiden AS, Barack Obama bertajuk A Promised Land yang jatuh ke tangga ke-5.
Obama antara sejumlah besar rakyat AS yang kagum dengan Gorman.
“Pada hari yang bersejarah, Amanda Gorman mendeklamasikan sebuah puisi yang paling tepat pada saatnya,” kata Obama menerusi Twitter sebelum memetik baris terakhir puisi Gorman.
“Remaja sepertinya bukti sentiasa wujudnya cahaya, hanya jika kita berani melihatnya; hanya jika kita berani menjadinya,” kata Obama.
Antara tokoh lain yang turut memuji Gorman termasuklah pengacara terkenal, Oprah Winfrey; bekas calon Presiden parti Demokratik, Hillary Clinton dan penerima Anugerah Nobel Keamanan, Malala Yousafzai.
Gorman turut mendapat dua juta pengikut baharu di Instagram dalam tempoh sehari dan sejuta pengikut di Twitter.