2 CEDERA DITEMBAK SUSPEK BERMOTOSIKAL
Berita Jenayah
2 CEDERA DITEMBAK SUSPEK BERMOTOSIKAL
SHAH ALAM: Seorang ahli perniagaan dan pengawal peribadinya cedera di dada dan beberapa bahagian badan akibat ditembak dua suspek bermotosikal dalam kejadian di Jalan Sultan Abdul Samad, Banting, dekat sini tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari itu turut menyebabkan tiga pelajar sekolah menengah cedera akibat dirempuh kereta jenis BMW dinaiki mangsa.
Katanya terdahulu, dua suspek lelaki terbabit mengekori kereta dinaiki mangsa sebelum melepaskan kira-kira sembilan das tembakan ke arah kenderaan itu.
“Siasatan awal mendapati kejadian tembakan itu berlaku kira-kira 100 meter dari sebuah sekolah menengah. Pengawal peribadi terbabit yang memandu BMW berkenaan hilang kawalan akibat ditembak menyebabkan kereta itu merempuh beberapa kenderaan lain.
“Kereta BMW itu juga merempuh tiga pelajar sekolah menengah yang kebetulan berada di tepi jalan untuk pulang setelah tamat sesi persekolahan.
“Kenderaan itu kemudiannya terhenti berhampiran pagar sekolah terbabit,” katanya.
Beliau berkata, ketiga-tiga pelajar berkenaan bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius dan kini dirawat di Hospital Banting.
Menurutnya, ahli perniagaan dan pengawal peribadinya turut dihantar ke hospital sama bagi rawatan lanjut sebelum dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.
Mengulas lanjut, Azizan berkata sebelum insiden tembakan itu, ahli perniagaan dan pengawal peribadinya dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah selepas minum di sebuah kedai di Sungai Manggis, Banting.
Beliau berkata siasatan awal pihaknya mendapati motif kejadian dipercayai pergaduhan di antara dua kumpulan dan tidak menolak kemungkinan turut berpunca daripada masalah perniagaan.
Sumber: BERNAMA