JANGAN TERPERDAYA TEORI KONSPIRASI
ULAMA ISLAM KANADA INGATKAN JANGAN TERPERDAYA TEORI KONSPIRASI
LONDON: Seorang ulama Islam terkemuka Kanada mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan teori konspirasi mengenai vaksin COVID-19.
Menurut Sheikh Mohammed Tahir Al-Qadri, apa yang dimomokkan oleh dakwaan konspirasi itu sudah tersebar dan viral di media sosial sebagai cubaan mempengaruhi orang ramai menolak suntikan vaksin COVID-19.
“Pada permulaan wabak ini, umat Islam seluruh dunia adalah antara yang berada di barisan hadapan bagi memerangi pendemik global ini, baik dengan menyelamatkan nyawa, mengedarkan makanan atau memberi sokongan.
“Kini, mereka juga harus berperanan meyakinkan umat Islam mengenai kepentingan menerima suntikan vaksin,” katanya dalam temubual bersama Sky News.
GAMBAR HIASAN
Beliau membuat kenyataan itu berikutan beberapa kumpulan di Eropah kini sedang ghairah mendakwa vaksin tertentu adalah haram di sisi Islam dan cuba mempengaruhi umat Islam di sana supaya menolak suntikan vaksin berkenaan.
Al-Qadri, yang berasal dari Pakistan, kini giat berusaha untuk meyakinkan pengikutnya dan umat Islam secara umum mereka supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan palsu mengenai vaksin terbabit.
“Beberapa individu mendakwa ia mengandungi alkohol di dalamnya atau bahan daripada babi atau lain-lain yang ditegah (dalam Islam).
“Ada juga yang mendakwa vaksin terbabit boleh menjejaskan bahagian tertentu pada otak. Apa boleh saya katakan? Semua ini dakwaan tidak berasas,” katanya.
Tambah beliau, suntikan vaksin itu sama seperti pengambilan ubat lain seperti paracetamol, antibiotik atau aspirin, yang mana meskipun ada kes sampingan, ia bertujuan untuk menyembuhkan.
Jelas Al-Qadri, mempercayai proses perubatan adalah satu daripada asas ajaran Islam.
“Islam dan ajaran al-Quran serta Nabi Muhammad SAW memberi tumpuan pada justifikasi, kepintaran, penyelidikan ilmiah dan pengembangan intelektual,” katanya.