PEMANDU TERCAMPAK AKIBAT LANGGAR LOPAK
PEMANDU TERCAMPAK AKIBAT LANGGAR LOPAK
TAWAU: Selepas bertarung nyawa lebih 16 jam, lelaki yang parah selepas tercampak dari Toyota Hilux dipandunya di Batu 7, Jalan Apas, dekat sini, petang semalam, menghembuskan nafas terakhir pagi tadi.
Ahmad Tang Bakri, 27, meninggal dunia di Hospital Tawau jam 10.30 pagi ketika menerima rawatan akibat kecederaan parah di kepala, susulan nahas pada jam 6 petang semalam.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Dalam kemalangan itu, mangsa yang memandu bersendirian dipercayai terlanggar lopak air sebelum hilang kawalan lalu terbalik dan terbabas ke pembahagi jalan dan kemudian terhumban ke parit.
Akibat kemalangan itu, mangsa tercampak keluar dari kenderaannya sebelum dibantu orang awam yang melalui kawasan itu sebelum dibawa ke hospital menggunakan ambulans.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas ketika dihubungi sebentar tadi mengesahkan perkara itu.
Harian Metro melaporkan, mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Tawau 10.30 pagi tadi.
Sementara itu, tinjauan di akaun Facebook mangsa mendapati ramai rakan yang menzahirkan ucapan takziah selain mendoakan arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Rakan mangsa, Ahmad Shobrin Adon, 40, yang masih terkejut dengan kejadian menimpa mangsa menyifatkan arwah Ahmad Tang sebagai seorang yang amat disenangi dalam kalangan rakan.
“Arwah adalah graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan difahamkan masih menunggu surat tawaran penempatan mengajar,” katanya,
Menurutnya, jenazah rakannya itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islamiah Tawau, 2.30 petang tadi.